Rabu, Oktober 31, 2012

Sandy

Memang ada dimensi metafizik manakala bicara tentang bencana alam. Ertinya, ia tak hanya sebatas perubahan cuaca, plat tektonik dan selainnya, tapi turut terkesan dengan god's intervention yang mungkin saja berakibat daripada noda kita sendiri.

Tapi penghakiman itu bukan milik manusia yang memandai-mandai melihat saudaranya dengan hina, konon mereka berada di sebuah altar lain yang lebih suci. Kita pun mendengar keangkuhan tatkala blame game ini dimainkan umat dek taufan Sandy.

Du'a dan ingatan saya buat kesemua mangsanya di Amerika Syarikat.

Khamis, Oktober 25, 2012

Rusuk

Ali Shari'ati, rausyanfikir asal Iran yang juga ideolog revolusi itu, akhirnya menyingkap suatu hal yang telah sekian lama membingungkan, juga memerangkap akal-fikir saya.

Begitu lah saya sering tewas dan lelah manakala dihadapkan dengan teori penciptaan -- bahawa wanita tercipta dari rusuk lelaki. Hal ini berulang-kali disebut dan ditakwil secara semberono.

Ia sering diertikan dengan melankoli; konon wanita itu muncul dari rusuk dan dekat dengan hati untuk dikasihi, malah ada juga yang memahaminya dengan "bengkok" untuk di-"luruskan".

Hal ini disanggah oleh Shari'ati lewat Man and Islam, siri sharahannya yang membajai faham agama yang murni dan progresif. Menurutnya, kepada khalayak berbahasa Farsi, ia ralat terjemahan.

Yang dimaksudkan dalam kaitan ini bukan lah rusuk, tapi sifat alami manusia umumnya. Lalu, "hawa tercipta dari rusuk Adam" itu seharusnya adalah "hawa tercipta dari sifat alami Adam."

Itu boleh lah difahami dengan luas, bukan dengan pemaksaan kepercayaan bahawa wanita adalah warga kelas dua yang lemah dan sering bergantung. Jelas, ia tak berkonotasi memberdaya.

Konsepsi manusia dengan dwi-dimensi sebagai mud and God's spirit yang digagas Shari'ati juga wajar dilihat. Kita boleh memilih kehinaan atau menyayap ke tahap tertinggi kemanusiaan.

Justeru, elok lah seandainya hal ini kembali direnung sebagai pedoman yang sekaligus menafikan citra wanita yang ditanggapi dengan cukup negatif ketimbang lelaki atas pelbagai sebab.

Tentunya, manusia diciptakan sempurna dan selayaknya. Tanpa perlu memanipulasi rusuk pun, wanita akan selamanya didakap dengan belas-kasih yang luhur -- tak terbanding dan tak terungkap.

Rabu, Oktober 24, 2012

Qardhawi

Kebangkitan Arab; manakala pemerintah tercari-cari justifikasi agama untuk mewajarkan tindakan rakus menekan umat, maka muncul lah kalangan ulama su' yang tanpa rasa tanggungjawab mengeluarkan hukum dan pandangan yang gagal mendakap realiti.

Begitu lah shariah diinjak dan diseleweng demi tembolok regim. Dek godaan duniawi, mereka meminggirkan keutamaan atau maqasid agama iaitu untuk memelihara kebebasan dan kemuliaan insan. Dalam latar itu lah lahirnya Thaurah Sha'ab oleh Yusuf al-Qardhawi.

Saya hampir terlongo membacanya. Malah, saya teruja dengan sanggahan keras terhadap sikap dan tindakan mereka yang melacurkan agama sendiri. Islam harus tertegak dengan kebenaran, dan ini harus dilakukan dengan menghormati hak tiap penganutnya.

Dan tentu lah, buku ini wajib dibaca oleh sekalian umat di Malaysia.

Surat

Salaam.

Sdr. Pankaj Mishra,

Biar lah saya berjujur, bahawa awalnya saudara adalah watak asing yang tak dikenali. Seandainya saya tak mentelaah From the Ruins of Empire -- karya tour de force saudara tentang babad kebangkitan Asia itu -- barangkali saya takkan mampu memaafkan diri kerana gagal menghargai bakat yang saudara miliki.

Lewat buku itu lah nama saudara mulai mekar dalam ingatan saya, dan akhirnya mendorong saya menggelintar koleksi rencana saudara dengan genre yang rencam. Membaca tulisan saudara adalah sebuah kenikmatan buat saya; keelokan bahasanya, deskripsi rinci, dan timbunan fakta yang seringkali menggugah.

Pagi tadi, saya selesai mengulit The Romantics, novel debut saudara yang terbit lebih sedekad lalu. Entah, semacam ada sebuah euphoria yang cukup peribadi. Saya terkesan dengan kesunyian Samar, terbayang keayuan sosok Catherine dan turut terilham meneruskan impi yang tertangguh -- kembara ke India.

Imaginasi saya kembali bergetar manakala saudara melakar kata untuk sebuah ceritera belas-kasih yang kalau pun tak diakhiri dengan kebahagiaan, tapi terlihat sangat realistik dan bermakna. Malah, tak sukar untuk saya larut dalam pengkisahannya, juga berkongsi emosi dan gelora yang barangkali tak teredam.

Sebetulnya, ada banyak hal yang ingin saya khabarkan. Antaranya tentang kalangan penulis dan da'ie di negara saya yang sepertinya memusuhi fitrah sendiri. Begitu pun, mereka tanpa segan menjadikannya sebagai subjek utama pembicaraan lalu disadur dengan label agama sebagai justifikasi.

Tapi itu tentunya akan mengambil masa saudara untuk menelitinya dan mungkin akan membosankan dengan melankoli saya yang berlanjut-lanjut. Syahdan, saya akhiri surat ini dengan penghargaan dari ruang jiwa yang paling seni --  untuk sebuah vista baru yang sudi dikongsi dan serasa cukup mengilhami.

Muga saudara dan famili kekal dalam lindungan Tuhan Maha Kasih.


Salam hormat.

Hanif Amir
Kuala Lumpur

Khamis, Oktober 11, 2012

Diari

Ada begitu banyak hal yang ingin dikhabarkan - yang sepele dan yang mendesak - dan kadang hampir tak terkendali. Begitu pun, saya dihambat dan dikekang oleh waktu.
 
Tapi harus juga sela ini saya catatkan penghargaan buat teman-teman setia yang baik budi. Saya sangat tertolong dengan du'a dan belas-kasih yang kalian titipkan.

Macam biasa lah, nanti lapang-lapang sikit kita ngobrol dan ngeteh!

Jumaat, Oktober 05, 2012

Dikaiosyne

Anwar Ibrahim membentangkan belanjawan sambil menyebut nama-nama filasuf dan guru agung. Dr. Mahathir di sisinya terlihat bingung. Gambaran itu dilakar dalam sebuah kartun Lat.

Hal itu berulang manakala dalam perbahasan belanjawan Isnin lalu, ia sekali lagi mengungkapkan idea dikaiosyne -- semangat keadilan dalam bahasa Yunani purba seperti dikonsepsikan Plato.

Hal ini mencemaskan; saya tak punya wang mahu beli The Republic.

Khamis, Oktober 04, 2012

Debat II

MEMO

Manakala mengungkap dialog Sarjan Hassan dalam catatan terdahulu, saya tidak berniat merendahkan watak Hassan ketimbang Ajis dengan menyamakannya dengan peribadi Najib Razak.

Memadai lah ia difahami seadanya, bahawa sikap itu selari dengan watak kanak-kanak yang membontoti Hassan pabila bapanya tak memberi izin untuknya menyertai Rejimen Askar Melayu.

Saya bimbang sekali kalau-kalau terhina kegeniusan idea P. Ramlee.

Debat I

Najib Razak mengisi hampir 30 minit dalam sesi pembentangan Belanjawan 2013 dengan menghentam dan menyindir sosok Anwar Ibrahim dan kebijakan ekonomi Pakatan Rakyat.

Tapi manakala dipelawa untuk berdebat, ia menikus. Bayangkan saja, sebagai ketua kerajaan, ia gagal menghadapi lawan dengan bermaruah. Tahunya, demonize demi undi PRU.

Sikap bacul dan childish ini menghantar ingatan saya pada dialog malar segar lewat filem Sarjan Hassan yang diperan oleh P. Ramlee, "Abg. Hassan penakut, tak macam Abg. Ajis."

Selasa, Oktober 02, 2012

Hobsbawm

Eric Hobsbawm, sejarahwan yang dalam bahasanya, "had lived through almost all of the most extraordinary and terrible century in human history", meninggal dunia semalam.

Dalam usia lanjut 95 tahun, ia tetap prolifik menulis. Malah, ada karyanya yang masih belum diterbitkan. Bukunya, oleh rata-rata pembaca, ditanggapi  erudite dan profound.

Sebetulnya, saya juga mengumpul tulisan sang Marxist ini. Meski tak dibaca teliti, tetralogi yang ditulisnya tentang sejarah berawal daripada abad ke-19 itu sering mengujakan.

Selamat kembali; dan muga damai dalam hidup abadi di sisi Tuhan.

Isnin, Oktober 01, 2012

Belanjawan

Sebetulnya, memang ada desakan dan keperluan untuk mentelaah dan meneliti belanjawan yang baru dibentang minggu lalu. Kebijakan ekonomi kerajaan harus diwarasi.

Begitu pun, sejak kelmarin saya tak punya mood berbuat hal-hal yang serius. Apalagi untuk membaca dan larut dalam jargon bombastik yang tak difahami dan memeningkan.

Tapi kalau harga roti canai masih mahal, saya tahu nusa ini nazak.