Rabu, Januari 30, 2013

Siddharta

Khabarnya, ia lahir dengan beberapa petanda bahawa nanti sosoknya membesar sebagai seorang yang sakti. Dalam sebuah istana yang firdausi, ia ditatang dengan segala kemewahan.

Begitu pun, kita tahu kisahnya yang masyhur. Siddharta sedar hidup melampaui sebuah janji kekuasaan dan belai manja gundik. Fantasi yang diciptakan sang raja, tak lagi mengiurkan.

Kita tak mungkin benar-benar pasti adakah ia akhirnya menemukan nirvana. Tapi, pengiran muda ini menempuh moment of existential realisation, sebuah hal fana yang tak terbanding.

Dari sana, di bawah sebuah pohon rimbun, lahir sebuah agama, juga kesedaran bahawa manusia harus melepaskan pesona dunia. Dan saya teringat luput senja yang damai di Benares.

Isnin, Januari 28, 2013

Normalisasi

Slavoj Zizek lewat sebuah esei pendek dalam The Guardian sehari dua lalu memberi masukan yang baik tentang Zero Dark Thirty, filem tentang pemburuan sang teroris, Osama Laden.

Filem itu, yang belum ditonton kerana toko DVD cetak rompak yang selalu saya kunjungi sering saja tutup, boleh jadi telah bankrap, tergambar cuba untuk menormalkan penderaan.

Menurut saya, hal ini bukan sesuatu yang aneh. Ia adalah halwa mata dalam segugus filem lain sebelumnya. Antaranya, sekian banyak babak tak terlupakan semisal dalam Unthinkable.

Ia cuba dijustifikasi dengan pelbagai istilah yang kononnya mendesak -- keselamatan negara, ancaman kepada keamanan dll. Lantas, tanpa soal, kita pun memberi consent dan tunduk patuh.

Di celahan itu, kezaliman bertempik riang, dan kemanusiaan, mati.

Kuasa

Robespierre memang cemerlang sebagai khutaba'. Periode tegang dalam revolusi Perancis itu barangkali punyai hutang budi dengannya yang telah menggelorakan kesedaran rakyat.

Meski ia awalnya menentang reign of terror yang menyaksikan kota Paris ditumpahi darah akibat guillotine, pemuka revolusi itu akhirnya gagal mengawal kemaruk kekuasaan sendiri.

Benar lah puisi Pak Samad; ".. kuasa pun seolah menjadi hartanya."

Ahad, Januari 27, 2013

Tegah

Hayek menegah Fischer terjun ke dalam lapangan politik. Dua tokoh itu, yang awalnya bertemu di LSE, akhirnya merubah lanskap ekonomi dengan ide-ide kebebasan dan pro-pasaran.

Cendekiawan atau kalangan intelektual harus terlibat dalam pertempuran pemikiran, bukan sibuk dengan ehwal politik yang memperdaya serta dipenuhi kebijakan menyeleweng.

Berdekad sesudahnya, kita pun mengangguk; mungkin benar, Hayek.

Sabtu, Januari 26, 2013

Pop

Mendengar kuliah agamawan pop memang menghiburkan. Bicaranya, yang lazimnya adalah seputar persoalan fiqh, dipenuhi gelak tawa dan lelucon dengan contoh mudah.

Cuma, kita kadang resah dihadapkan hujah simplistik yang culas dan liar dalam isu-isu pokok. Apalagi, jika hal-hal itu kemudiannya nanti terus diimani dan disebar luas.

Tapi, kalau mahu memandu tanpa menguap, boleh saja dong. Beres!

Iman

Adat hidup temukan mati; adat wira harus tahan uji.
Kalangan yang mengaku beragama, atau, punyai tingkat taqwa lebih tinggi ketimbang orang lain, harus lebih berjujur tentang iman. Ia hal sentral yang tak ternafi begitu penting dan mendasar.

Iman, barangkali yang saya fahami secara tohor, adalah kejituan perilaku bersumbu keutuhan nilai yang tertancap dalam diri. Ia bukan was-was yang menelurkan gelisah tak berpenghujung.

Tentu, kita tak menggelar insecurity atau fragility sebagai sebuah keyakinan. Iman yang kental tak goyah dengan keraguan. Malah, ia siap untuk berdepan serta terlibat dalam pergulatan.

Justeru, sejumlah persoalan zaman ini perlu difikir ulang. Manakala agama adalah cahaya, tak wajar ditakuti kegelapan. Andai masih terancam, elok kita soal; "apakah ini iman, Tuhan?"

Isnin, Januari 21, 2013

Cerut

Cuba, selain dikenal orang sebagai sebuah negara yang dibangunkan lewat revolusi, juga adalah pengeluar cerut terbaik dan paling berkualiti di dunia. Yang mengejutkan, rahsianya -- puisi.

Begitu lah sastera dimanipulasi. Di salah sebuah gedung pembuatannya, sejumlah puisi dan prosa indah akan dibaca tiap masa. Ia jadi perangsang keenakan bau serta rasa cerut.

Kita teringat sosok Che Guevara; kita terhimbau puisi Pablo Neruda.

Rabu, Januari 16, 2013

Kembiri II

Bawani dihina dan yang memualkan, hal itu disambut riang dengan tepukan. Kalangan mahasiswa seakan rela melihat hujah dibungkam dengan nista. Tambah malang, medannya, universiti.

Universiti kini memang telah hilang makna. Kita tak lagi merasa ruh keilmuan dan dorongan untuk berfikir. Sebaliknya, ia hanya sebatas kilang penghasil tenaga kerja. Ilmu, langsung nir nilai.

Tapi apa lacur, sebahagian kita memang harus berjujur bahawa tujuan ke universiti adalah demi kertas bernama ijazah. Kemudian, kita pun bekerja dan mengumpul wang untuk berkahwin.

Ini tak aneh, malah, sebagai budaya yang sedang membarah, cara fikir seperti itu rata-ratanya diterima umum sebagai hal yang absah. Tanggungjawab keilmuan tak langsung cuba dimengerti.

Momen sebegini, kita pun mengenang Freire, Maududi dan Shari'ati.

Selasa, Januari 15, 2013

Wahana

Dalam basa-basi sebelum mendeklamasikan Di Atas Padang Sejarah di #KL112 lalu, Pak Samad berterima kasih kepada rakyat kerana memberi maruah kepada "orang baca puisi."

Di tangannya, puisi adalah senjata. Ia jadi wahana yang mencitrakan detak jantung serta denyut nadi umat melawan regim zalim dan korup. Sastera diranumi bahasa perlawanan.

Kekadang, kita pun jatuh hairan bagaimana ia, pak tua dengan usia lebih separuh abad, lebih bermotivasi untuk menggemakan hak dan kebenaran melalui ekspresi kesusasteraan.

Apalagi kala kalangan muda kerap meleleh; "kasih, hati-ku rintih."

Kembiri

Saya sempat menonton klip hangat yang khabarnya dirakam dalam sebuah forum mahasiswa di UUM tentang telingkah perihal politik mutakhir yang menyeleweng.

Menurut saya, ia memprihatinkan. Suara mahasiswa tak hanya cuba dikekang, malah pemikiran mereka turut dikembiri dalam proses pembodohan yang amat jelek.

Ini sebetulnya bukan lah hal baru di institut pendidikan awam. Ia merupakan rahsia umum yang didiamkan dan ditentang dengan silent protest oleh kalangan waras.

Apa pun, dukungan saya untuk sang pemberani; salut untuk Bawani!