Khamis, Februari 26, 2009

Fikir

The aim of education should be to teach us how to think, rather than what to think
-James Beattie

Jumaat, Februari 20, 2009

Berani

Acapkali terjadi, manusia terperangkap dalam ruang yang didiami dan diciptakannya sendiri. Mereka seolah-olah terlupa (baca:melupakan) bahawa situasi itu sebenarnya muncul disebabkan oleh ketakutan peribadi untuk keluar dari zon selesa. Mereka merasa cukup dengan apa yang ada sehingga pertimbangan jadi tempang tanpa rasional.

Entiti segah manusia sebenarnya tidak layak berkeadaan begitu. Meski dicabar dengan mehnah dan dugaan menggunung, jiwa besar yang tertanam dalam diri seharusnya berperanan mengeluarkan manusia dari posisi dan pemikiran sempit yang mengisi benak. Tanpanya, kerelevanan hidup mungkin terjejas dari sudut tanggungjawab yang ditanggung.

Manusia selalu merasakan mereka orang kecil dalam kelompok orang besar. Perkiraan itu didasarkan pada ketinggian pangkat, jalur keturunan, jumlah harta, sehinggakan kepada keelokan rupa wajah. Maka, yang bertahap rendah daripada semua elemen ini lebih rela menikus serta takut daripada terus gagah dengan rasa berani.

Mereka merasakan diri terlalu kerdil untuk berbuat sesuatu walau terlihat kebobrokan berlaku di depan mata. Itu bukan tugas manusia yang hina untuk mengubahnya. Cukuplah dengan kehidupan yang ada selagi cukup dengan segala keperluan meski mereka sedar impian jauh dari gapaian. Hidup perlu terus!

Mungkin ada pengajaran besar yang perlu dipelajari daripada nyamuk. Bayangkan bagaimana dalam keadaan ruang tidur yang sebegitu besar dan lebar ditambah pula dengan segala macam perlindungan yang ada, nyamuk masih mampu menggugat tenang malam manusia. Cukup dengan hanya seekor. Terbangnya yang nyaring pasti akan membuatkan kita gelisah untuk terus berdengkur.

Mari keluar dari zon selesa. Saat kita merasakan kita bersendiri untuk menentang atau melakukan apa saja yang melawan status quo tidak harus membuatkan kita gentar. Jangan terus biarkan diri menjadi tunggangan yang rela dicambuk badan. Kekuatan hanya akan muncul jika rasa berani mengungguli ketakutan dalam diri. Ya, meski kala itu kita berseorangan dalam arena luas pertarungan.

Masih ingat janji kita pada Tuhan? Bukankah dulu beria mahu jadi Khalifah? Semoga impian murni itu belum lagi musnah.

Rabu, Februari 18, 2009

Asal Kita

Budaya kita punya sejarah yang panjang. Jika susur galurnya diteliti, nilai-nilai Islami yang mendarah daging bersamanya punya watak yang sangat berpengaruh. Kalau bosan dan malas membaca karangan ilmiah yang ditulis mengenainya, capai saja Manikam Kalbu karya Faisal Tehrani. Bedar Sukma Bisu juga mungkin sedikit membantu.

Memang di situ letaknya kekuatan kita. Budaya, walau dewasa ini tercemar ia dengan segala palitan kotor nilai-nilai asing dek kerana lemahnya kita mempertahankannya, tetap akan menjadi elemen pemisah antara ketinggian darjat bangsa dengan kerendahan budi pengamalnya. Ada faktor pembeza yang jelas dalam hal ini.

Namun demikian, siapa lagi yang mahu mengaku bangsanya kuat seperti dahulu. Berbekalkan minda tertawan kepada kebudayaan luar hasil indoktrinasi sistem dan persekitaran langit terbuka, masyarakat kita sebenarnya lebih ramai yang mencemar budaya. Bukan lagi berbangga dan patuh dengan praktis budayanya.

Ia bukan hanya tentang bahasa dan seni. Malah ia juga bukan puisi, sajak, zapin mahupun menora. Budaya itu adalah sudut pandang kita melihat dunia. Ibaratkan saja ia sebagai mata, butanya ia maka lenyaplah cahaya. Jalannya jadi kelam. Langkah kita tersekat-sekat.

Mungkin benar ia tidak sepenuhnya Islami. Hakikatnya ia pernah mengangkasa masyarakat lampau sekaligus memartabatkan struktur sosial masyarakat waktu itu. Namun kini kita masih keliru mencari arah. Peribadi anak-anak muda semakin goyah. Apa lagi yang kita ada? Masih mahu menanti si Tuah?

"Takkan Melayu hilang di dunia!"

Alahai Tuah. Mengisi frasa itu benar-benar susah!

Jadilah Elemen Sedar

Maka benarlah kata Naquib al-Attas, dalam hal berkait masyarakat dan komuniti, kekeliruan terhadap pengetahuan dan pandangan sarwa Islam mewujudkan keadaan yang membolehkan munculnya seorang pemimpin yang palsu dan akhirnya menyebabkan ketidakadilan berlaku.

Dan mahasiswa harus celik. Jangan dibutakan mata oleh hal-hal picisan yang sebenarnya hanya mampu menempel. Ia tidak langsung mengubah jalur dan corak selain hanya menjadi kebanggaan dan rasa puas diri. Sampai bila mahu begini jika kita sendiri tidak mahu menghidupkan akar yang mati?

Mahasiswa harus menggugat!

Selasa, Februari 17, 2009

Menjejak Francis Light

Langit masih samar tatkala feri membelah ombak laut Pulau Mutiara. Mentari seakan malu untuk memunculkan wajah. Kepenatan mengharung perjalanan panjang selama enam jam sebelum tiba di negeri sebelah utara ini lekas hilang sebaik pandangan mula diisi dengan kelibat kota batu yang memenuhi tanah warisan Francis Light itu.

Kembara ke Pulau Pinang ini sebenarnya dirancang lewat. Bermula hanya sebagai bahan ketawa bersama teman-teman saat pertemuan terakhir sehari selepas sambutan Hari Natal, ramai yang ragu bahawa ia akan terlaksana. Manakan tidak, beberapa acara yang dirancang sebelumnya sudah beberapa kali menemui kegagalan (baca:dibatalkan), tidak hairan andai kali ini tiada yang mahu mempercayai si perancangnya lagi.

Bagi saya ia menggamit. Tinggalan struktur kolonial dengan rupa bentuk pelbagai memang menanti kerlipan lensa kamera yang mahu mengabadi kenangan bersamanya. Walaupun didominasi oleh bangsa Cina bermula dari perniagaan runcitan sekitar Batu Ferringhi sehinggalah ke syurga makanan Persiaran Gurney, atmosferanya tenang dengan rasa damai yang kadangkala membuai rasa sunyi di kejauhan.

Georgetown hidup dan bergetar menanti kunjungan. Meski wajah-wajah asing terlihat di mana-mana, mereka hidup rukun tanpa sengketa. Perbalahan kecil di atas jejantas persimpangan jalan menghala Pasar Chowrasta yang melibatkan mereka bagi saya hanya biasa. Selagi prinsip dan hak warganegara yang lain dihormati, saya tidak bermasalah menghadapi hakikat manusia yang selalu tidak sebulu dan penuh dengan benci.

Ah, biarkan. Gedung buku terpakai di Pasar Chowrasta yang letaknya di Jalan Penang sudah berteriak memanggil untuk dijelajah. Walaupun pasar lama ini sebetulnya lebih dikenali sebagai tempat berjual beli jeruk dan jajan lain yang terkenal, khazanah terpinggir di satu sudut kelamnya tidak harus saya lupakan. Ia benar-benar menggoda. Kaget seketika saat mata terlihat naskah Keluarga Gerilya yang lusuh. Himpunan buku-buku lamanya juga cukup mengiurkan. Hanya saja wang yang selalu mencemburui. Saya pulang dengan beberapa naskah lama dekad-dekad terdahulu yang tentunya sukar unruk ditemukan lagi.

Bersambung...

Mahasiswa

Mahasiswa itu elemen sedar. Maka kau harus celik!

Khir Toyo

Hujah itu bingung. Khir Toyo harus lebih bijak.

Politik Sampah UMNO-BN

Sampah. Busuk. Jijik. Mual. Jelek. Getik. Najis.

Sabtu, Februari 14, 2009

Manusia Bingung

Manusia bingung. Sesat tanpa pedoman.

Selasa, Februari 10, 2009

Apologetik

Selain sosok unggul Muhammad B. Abdullah, tiada manusia lain yang sempurna dan terlepas daripada kesilapan. Meski ia seorang raja sehinggalah kepada hamba, kita harus akur bahawa insan itu asal maknanya adalah pelupa.

Jangan cabar kuasa Sultan - sebaris kata dengan makna mulia yang kini gah diungkap dimana-mana. Sikap apologetik sesetengah pihak dan ketakjuban kepada tokoh dan kuasa nampaknya semakin menghakis pedoman atas prinsip dan pegangan.

Mungkin kita cuai dalam meletakkan makna seimbang antara daulat hukum dan pemaknaan atas kuasa yang diamanahkan kepada manusia. Tiada sesiapa yang boleh mendabik dada mengatakan kedudukannya lebih tinggi daripada undang-undang yang mencorakkan wajah negara.

Maka itu, yang silap harus diperbetulkan. Meski kadangkala menelan kebenaran itu pahit untuk dilakukan, upaya bagi menghormatinya atas dasar kepatuhan terhadap daulat hukum memerlukan kita melakukannya.

Kita harus hidup dengan jujur kerana ia bukan hanya mampu mengelakkan manusia daripada melacurkan prinsip yang diimaninya, malah ia juga sumber penghormatan manusia lain terhadap kita; penghormatan atas rasa percaya bahawa undang-undang bukan padang rata yang boleh dipijak sesuka hati dengan rakus dan keji.

Jumaat, Februari 06, 2009

Bila Rakyat Menjadi Jebat!

Saya masih menyimpan harapan agar suatu masa nanti lagu negeri Perak ini akan saya nyanyikan kembali dengan penuh rasa bangga terlepas daripada rasa amarah, benci dan kecewa.

Tetapi, apa yang pasti, langit gelap tidak semestinya menandakan turunnya hujan. Ia hanya perkiraan Tuhan yang sengaja mahu sinar mentari terselindung di sebalik awan!

Paduka Seri Sultan, patik mohon derhaka.

Rabu, Februari 04, 2009

Wayang

Yang kita bicarakan ini apa? Ia tentunya bukan mengenai manusia dengan nilai mulia. Jika itu, tiada deru angin baru pasca Mac yang lalu. Kalaupun ada, ia hanya angin sepoi-sepoi bahasa yang bertiup laju dan akan hilang di hujung penjuru.

Politik itu seni serba mungkin. Dalam keadaan itu, kesempurnaan hanya ilusi dan retorik manusia. Namun apa saja yang terjadi melaluinya harus segera dinilai dan diperiksa. Manalah tahu jika ada kesesatan dalam kebenaran kata.

Situasi semasa di Perak amat mencemaskan. Di sana pertaruhannya bukan kepalang besarnya. Persoalan maruah, prinsip serta tanggungjawab berlegar di pundak sang politikus. Dan malang, ada yang tumbang sebelum sempat bertarung di medan juang.

Bagi rakyat, ini tempoh sukar. Tapi apa yang pasti, dalam hakikat politik serba mungkin, apa yang tergambar tetap samar. Otak bingung. Dan sayup terdengar di hujung telinga; wayang!

Selasa, Februari 03, 2009

Keluarga Gerilya

Cinta; ia adalah kata yang kadangkala gagal untuk mengungkap makna. Hanya saja jiwa yang membolehkan kehadirannya dirasai sekaligus membawa kita terbang di duniawi mimpi.

Melayu Yang Emo

Catatan ini asalnya ditulis oleh Khalid Jaafar. Atas ihsan dan izin daripadanya, saya paparkan ia di sini. Jalur keturunan dan karakter bangsa harus ditelusuri kembali. Jangan ralat jika ada orang Melayu beria mahu bangsanya dimartabatkan atas nama ketuanan meski ia sedar ketempangan bangsanya sendiri.

Nah! Ini jawabnya! Melayu itu emo!
--------------------------------------------------------------------------------------
Bulan March tahun lalu kawanku Eddin Khoo ke Lisboa, kota Eropah yang pertama menjalin hubungan dengan Melaka. Setiap kali Eddin ke Eropah dia akan bertanya kalau-kalau saya ada permintaan. "Belikan saya satu edisi 'Os Lusiadas' yang lama." Dan Eddin tidak menghampakan. Saya dihadiahkan edisi tahun 1884, tahun takala Eropah digoncang pemberontakan di sana sini.

Os Lusiadas adalah 'poema epico' hasil khayalan Luiz de Camoes. Ia adalah puisi teragung zaman Nahdah Eropah dengan Vasco da Gama sebagai wira dan protagonisnya. Puisi ini akan saya kunyah tahun ini sempena 500 tahun pertembungan kita dengan Eropah. Os Lusiadas semestinya satu bacaan wajib untuk meneliti gejala pertembungan kebudayaan tersebut. Namun sepanjang pengetahuan saya ia belum pernah diteliti atau disebutkan peri pentingnya oleh mana-mana sarjana kita.

Ketika Eropah bangkit dari tidurnya Camoes membertahu kewujudan 'opulenta Malaca', negeriku yang mewah dan kaya. Sang penyair juga menyanyikan jiwa dua bangsa serumpun yang menduduki Melaka yang kosmopolitan - Malaios namorandos dan Jaos valentes.
Melayu diberikan sifat namorandos -- sentimental, emo -- oleh Camoes, sementara orang Jawa berani.

Khazanah Chowrasta