Ada sebuah teater yang belum saya
tonton, tapi membaca ulasannya pun sudah cukup mengujakan, dan tentu
saja hampir membuat kita mual; tentang China ribuan tahun lampau.
Teater karya Kuo Pao Kun dengan judul Descendants of the Eunuch Admiral itu menyajikan kisah yang tak terbayang. Lewat semalam, di Twitter, kisah ini terasa segar dan dekat.
Babadnya, ada ratusan kamar di istana.
Salah satunya dikhaskan untuk menyimpan alat kelamin para abdi yang
dikerah sebagai pesuruh kepada maharaja dan maharani.
Rakyat tak punya pilihan. Berada di
luar istana bererti mereka akan berdepan kebuluran. Mahu tak mahu,
mereka terpaksa memotong alat kelamin sebelum layak menjadi abdi.
Alat kelamin yang telah dipotong akan
diletakkan dalam sebuah kotak kayu sebelum dipersembahkan kepada
maharaja. Itu, adalah tanda kesediaan untuk patuh kepada perintah.
Hal ini penting kerana para abdi
terlibat dalam hal yang cukup sulit. Misalnya, mempersiap tempat
bersiram dan persetubuhan maharaja. Syahdan, mereka dilarang bersyahwat.
Jika terpilih, alat kelamin itu akan
digantung dalam sebuah kamar istana. Tinggi gantungannya dinisbahkan
kepada hierarki abdi. Agaknya, terkait juga dengan senioriti.
Tugas mereka penting. Ada kalangan
abdi yang ditugaskan untuk hal pentadbiran seperti menyiapkan dokumen
dan rencana dagang ke negeri jauh. Antara sosoknya, Cheng Ho.
Nah, tentunya teater ini bukan seputar
alat kelamin. Tapi saya mencuplik fragmen itu supaya kita mengulang
fikir tentang kuasa serta batasnya yang kadang tak terlihat.