Ahad, Julai 29, 2012

Sawm 4

Demam dan selsema mulai kebah dan menghilang. Tapi, awalnya memang tak terelak berasa lemah; kepala sedikit pusing, juga hidung yang berair. Pun, rencana-Nya aneh.

Hamza Yusuf memerikan hal yang sama, kira-kira begini; ia di padang pasir, terdedah dengan cuaca ekstrem. Lantas, dihinggap oleh ketakberdayaan peparu, nafas memendek.

Ia segera ketemu doktor, yang mengkagumkan, sentiasa optimis. Meski lelah, doktor itu memuji-muji fungsi tubuhnya -- seluruhnya positif. Psikologinya terkesan, dan membaik.

Nah, ini kisah kesyukuran manakala kita lupa erti nikmat dan kurnia.

Sabtu, Julai 28, 2012

London

Obor telah pun dinyalakan oleh kalangan muda -- simbol masa depan, menandakan pembukaan Sukan Olimpik London '12. Acara purba yang bermula di Greece ribuan tahun lampau, kini jadi medan solidariti warga dunia, sebalik pertarungan maruah dan kehormatan nusanya.

Buat kesemua atlit -- maju terus, menang lah atau tewas bak wira!

Khamis, Julai 26, 2012

Jawa

Selamet nyambut poso sedulor-ku. Mugo diparingi oleh rohmati lan ngapuroni; terjemahan; Selamat menyambut puasa saudara-ku. Muga diiringi rahmat dan keampunan.

Saya sering terpesona dengan bahasa. Itu, ucapan selamat dalam bahasa Jawa yang dititip seorang teman rakyat Malaysia yang mengaku punyai leluhur Jepun.

Hey, tentu saya tak mahu kalah; maka harus dibalas, matur nuwun!

Fantasi

Saya teringat-ingat Zia Sardar dan kritikannya buat kalangan yang begitu enthusiast mahu menciptakan surga dunia dengan fantasi yang muluk-muluk.

Dalam segala ketaksempurnaan dan keterbatasan manusia, ia adalah misi mustahil. Begitu pun, ketempangan itu harus dihadapi sebaiknya dengan penuh sedar.

Dendangnya; bawa aku pergi / pacu laju-laju / kita lari dari realiti.

Sawm 3

Betapa pun sukar atau tersudut, sebuah prinsip harus dipertahankan. Apalagi kalau ia berkait agama; tapi wajar lah absah dan bertanggungjawab.

Kita mengenang al-Qardawi dalam konfrontasi dengan Emir Qatar sehinggakan sang umara' tunduk merendah diri kepada ulama' demi mengetahui khilafnya.

Manusia bebas dan setara; bedanya, taqwa yang dinilai Maha Mulia.

Ahad, Julai 22, 2012

Qiam

It is time to remind ourselves that in the profoundest of Islamic teachings, believers do not rise to pray during the night in order to find themselves and forget the world; indeed they do this to find themselves, but so as to give meaning to the day and to reform the world.
-Tariq Ramadan, The Arab Awakening

Sawm 2

Pernah dulu, saya diminta bertazkirah dalam sela tarawih. Yang teringat waktu itu hanya satu, perihal menggugah seorang gabenor, marhaen dan sejenis manisan.

Tentu saja kisah itu dilatari konteks dan perlu dideskripsi. Umumnya, ia adalah tentang kebertanggungjawaban dan rasa peduli orang besar buat orang kecil.

Puasa lah medannya; tempat kita mendengar rintih yang terpinggir.

Tulus

Waktu itu, keilmuannya tak terbanding. Dalam struktur Nizamiyya, al-Ghazali adalah faqih, yang kini barangkali disebut dengan gelar profesor. Tapi kita pun tahu kisahnya lewat al-Munqidh min al-Dalal;

 I reflected on my intention in my public teaching, and I saw that it was not directed purely to God, but rather was instigated and motivated by the quest for fame and widespread prestige. So, I became certain that I was on the brink of a crumbling bank.
  
Dasawarsa berikutnya, ia berkelana; tulus dan luhur mencari Tuhan.

Sabtu, Julai 21, 2012

Sawm 1

Kita memulakan puasa dengan optimisme; meningkatkan kekuatan ruhi dan darjat taqwa. Tapi, tak aneh kalau kita disedut dalam putaran konsumerisme -- berbelanja tanpa had.

Lalu, kita pun berleka-leka dan langsung melupakan keutamaan puasa dengan hikmah yang sedemikian mendalam. Beri lah sebanyak-banyaknya, dan usah bertanya, balasannya apa.

Tazkirah

Ramadhan; tak ada yang sia-sia dalam pengisiannya. Madrasah, atau tempoh mujahadah ini, selayaknya dipadati dengan kualiti amal dan ibadah. Kalau ada masa, laman ini menarik -- Ramadan Chronicles.

Puasa

Alhamdulillah, tahmid kesyukuran itu kita ungkapkan dalam sambutan puasa; bulan yang berawal dengan rahmat, diikuti keampunan dan pembebasan daripada neraka.

Kita berharap, selain istiqamah dengan rutin lazim, bulan ini juga diisi dengan huluran silaturrahmi dan belas-kasih. Juga, menginsafi nestapa umat dan marhaen yang tak tertolong.

Muga kita terus dilapangkan waktu mentadabbur pesan qur'ani dan punyai ruang berlarut dalam bacaan serius yang memperdalam daya renung dan memarakkan benderang hikmah.

Tentunya kita tak mahu hanya tersia dan tersisa dalam kurnia Ilahi.

Buat teman-teman setia dan dewi terpuja -- fastabiqul khairat!

Jumaat, Julai 20, 2012

Sinema

Meski bergelut menghadam The Arab Awakening, saya sempat menghabisi Sinema Spiritual-nya Faisal Tehrani yang baru saja terbit. Ideanya cukup bersemangat; bahawa filem harus menjadi sekolah tauhid.

Ia sebetulnya adalah himpunan tulisan-kritikan yang tersiar dalam akhbar Siasah antara 2008 hingga 2010. Lewat buku ini,  filem tak hanya sebatas medium mengaut laba, tapi adalah sebuah medan ilmu dan dakwah.

Ya, ia penyampai pesan qur'ani melampaui label tohor "filem islami".

Sabtu, Julai 14, 2012

Pesan

Hari ini, saya tak turut serta ke Hotel Renaissance mengikuti sharahan Rethinking Islamic Reform-nya Tariq Ramadan. Tapi, saya mengikutinya lewat twit teman-teman yang hadir. Ini pesan penting;

Tiga pesan untuk anak muslim;

1 - Harus selalu ada semangat ingin tahu
2 - Berfikir dengan kritis
3 - Bersolidariti untuk yang tertindas

Dengan ihsan siri twit langsung oleh aktivis filsafat, Aqil Fithri.

Filsafat

Sarah Izutsu, teman saya yang baik budi, menulis artikel pemula tentang filsafat. Tulisan yang dilatari skeptisisme dan momokan khalayak terhadap aktiviti berfikir itu, lumayan dibaca.

Tentunya kita biasa mendengar suara sinis yang mengaitkan filsafat sebagai aktiviti membuang masa. Malah, kita juga tahu ungkapan popular bahawa filsafat tak mampu menghasilkan roti. 

Pedulikan, menginsafi Asad dalam tafsirnya; for people who think.

Khatib

Buat pertama kalinya setelah lebih dua dekad hidup dan menggeluti khutbah yang membosankan, saya mendengar kata intelligentsia terpacul dari mimbar Jumaat.

Lazimnya, yang diulang sebut saban minggu adalah pesan taqwa menghampiri kiamat; dan sering juga temanya terpisah langsung dari realiti permasalahan umat.

Muga para khatib kita terus istiqamah tercerah dan mencerahkan! 

Jumaat, Julai 13, 2012

Raison

Pertentangan antara teks dengan konteks semacam tak berkesudahan. Tafsirnya juga beragam; kadang hanya sebatas makna literal yang tohor, jumud dan menyempitkan.

Justeru, kita harus kembali meneliti maqasid bagi menjangkau persoalan substantif yang lebih mendesak. Yang perlu diutamakan adalah raison d'ĂȘtre, dan ia wajib tak dikesampingkan.

Dari situ lah akan berangkat agama yang hidup dan tak formalistik.

Bangkit

Tariq Ramadan lebih memilih awakening ketimbang spring atau revolution. Pendirian itu berasaskan situasi semasa yang umumnya belum benar-benar memihak kepada tuntutan rakyat.

Lalu, bergegas lah saya ke toko buku. Kini masanya untuk bertarung dengan waktu bagi memahami tema-tema yang dibahaskannya seputar perseteruan politik kontemporer di dunia Arab.

Ini malam indah; saya tidur sambil memeluk The Arab Awakening.

Rabu, Julai 11, 2012

Rintih

Aku beserta-mu, orang-orang malang
Gie mengungkapkan itu dalam rintih bangsanya. Ia melihat marhaen yang menderita tak tertolong. Politikus hanya lah pembolot kuasa yang berkhianat kepada tanggungjawab.

Suaranya terasa begitu segar tak dimamah waktu. Kita turut memprihatinkan hal yang sama. Dan memang, tak ada yang beda, bahawa mustadh'afin, sering dimangsakan.

Begitu pun, ia bukan penamat sebuah kisah seperti yang dirakam dalam hikmah kepujanggaan; pabila kita berhenti untuk melawan, momen itu lah akhir hilangnya kemanusiaan.

Jamak

Tuhan tentu saja bisa menjadikan kita sebagai satu bangsa yang sama dan mendudukkan ciptaan itu dengan setara. Tapi, itu tak berlaku. Kita memang tercipta dalam kepelbagaian.

Hal itu lah yang tak sudah-sudah kita telingkahkan. Lalu terdengar slogan-slogan penyatuan yang membujuk. Tak kurang yang menganggap perbedaan sebagai musuh dan ancaman.

Kita yang sengaja tuli  menanggapi ibrah lita'arafu dan convivencia.

Azah

Azah Aziz, ibu kepada misi pengupayaan bahasa, budaya dan seni di Malaysia meninggal dunia kelmarin. Dalam akhbar New Straits Times hari ini, Johan Jaaffar menukil sebuah eulogi yang menarik buatnya;

 For, she believed language is the best manifestation of the soul of the people, while culture and the arts best reflect the mind and tradition of any race.

Saya hulurkan takziah buat seluruh famili Prof. Di-Raja Ungku Aziz.

Isnin, Julai 09, 2012

Kosmopolite

Hang Tuah melepaskan segala keterikatan daripada lembayung kekuasaan. Hal itu, yang tak pernah kita baca dalam hikayatnya yang berbaki, cukup penting. Ia berubah jadi warga dunia -- kosmopolite.

Diogenes mungkin sosok pemula. Pabila ditanya dari mana ia datang, jawabnya juga sama. Wataknya tak dibatasi geografi dan wilayah, tapi memecahkan kendala itu. Juga, merangkul beda jamak budaya.

Kurun itu telah lama berlalu tapi kita masih dibendung faham rasis.

Jumaat, Julai 06, 2012

Islamis


Maklumat lanjut dan pendaftaran program boleh ditemukan di sini.

Finale



Finale siri The World Tomorrow-nya Assange bersama Anwar Ibrahim. Yang paling mengujakan tentu saja tatkala mereka bicara perihal wisdom of the masses, habits of the heart dan William Shakespeare!

Du'a

Sebuah du'a adalah pengakuan bahawa kita sedar ada hal yang berada di luar batas kemampuan dan tak terkendali. Justeru, kita pun memohon pada sebuah kuasa lain.

Ya, itu saya rasakan manakala membacakan du'a dalam walimah kakak. Keterpisahan memang adalah sesuatu yang tak lazim, dan du'a, adalah harapan yang takzim.

Muga lafaznya didengar dan diperkenan oleh Tuhan yang Maha Kasih.

Bahasa

Dalam psyche Melayu, bahasa punyai peranan yang cukup signifikan. Ia bukan hanya sebatas kata dan frasa, tapi juga adalah pantulan faham agama dan budaya yang begitu mendasar.

Bahasa adalah lambang ketamadunan dan tradisi leluhur nan kaya. Ia juga adalah getar nurani, gelora dhamir dan gelombang semangat yang dimaknakan dengan begitu rinci dan teliti.

Dan ini catatan untuk teman yang sering sinis; kau skema lah, Anep.

Rabu, Julai 04, 2012

Jiwa

Excellence without soul; hal ini berulang-kali diungkapkan Siddiq Fadzil dalam kaitan ilmu yang gagal memberi manfaat. Manakala timbangan kecemerlangan adalah gred dan gelar berbobot, kita berkejar untuk sesuatu yang nir nilai.

Kita hilang dalam keramaian dan utopia. Barangkali juga, ia adalah awal-mula sebuah citra bencana bilamana kita gagal berperan-serta membangun umat. Lalu, tercipta lah sikap individualistik yang tentunya tak berhasil mematangkan.

Entah apa lagi yang ingin kita banggakan. Rupanya, yang dengan gah kita sorakkan itu bukan pun ilmu. Ia tak mengetuk dhamir dan menyentak jiwa, apatah lagi memenuhi pesan qur'ani;  bring thy people forth from darkness unto light.